ad
AGENDA

Imigresen umum garis panduan terkini keluar masuk rakyat Malaysia

12 Sep 2020, 6:40 AM
Imigresen umum garis panduan terkini keluar masuk rakyat Malaysia
Imigresen umum garis panduan terkini keluar masuk rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menetapkan garis panduan terkini bagi warganegara Malaysia yang ingin keluar dan masuk ke dalam negara sehingga berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

JIM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan beberapa kategori bagi ketetapan itu antaranya golongan yang tidak perlu memohon kelulusan, perlu memohon kelulusan dan tidak dibenarkan keluar negara serta prosedur untuk masuk semula ke Malaysia.

"Golongan yang tidak perlu memohon kelulusan JIM adalah diplomat dan tanggungan yang ingin bertugas di luar negara; pelajar yang menyambung pengajian dan baru mendapat tawaran belajar; pelajar yang mengambil peperiksaan; dan pemegang Pas Jangka Penjang Luar di Luar Negara (Pemastautin Tetap/Pas Residen/Pas Kerja dan lain-lain).

"Bagi golongan yang perlu memohon kelulusan JIM adalah warganegara Malaysia yang pernah mempunyai pergerakan masuk ke Malaysia dalam tempoh PKP; yang baru dapat tawaran bekerja; menghadiri mesyuarat/seminar/pameran/urusan perniagaan; urusan kecemasan; dan mengiring anak untuk belajar," menurut kenyataan itu, di sini.

Mengulas lanjut, jabatan itu memaklumkan kategori yang tidak dibenarkan keluar dari negara adalah golongan yang ingin melancong dan lawatan biasa ke atas ahli keluarga yang lain.

Bagi prosedur untuk masuk semula ke Malaysia, jabatan itu menetapkan bahawa warganegara yang pernah atau tidak pernah keluar dalam tempoh PKP juga dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu kelulusan dari JIM.

"Namun demikian, mereka tidak dibenarkan keluar negara semula tanpa mendapat kebenaran dari JIM walaupun mempunyai Pas Jangka Panjang di luar negara," menurut kenyataan itu.

Menurut JIM, warganegara Malaysia dari negara yang disekat atau memegang pas lawatan jangka panjang dari negara disekat dibenarkan masuk ke Malaysia walaupun pernah keluar dalam tempoh PKP.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.