ad
EXCO

Senarai 10 Ikon Agro Selangor diumum Isnin

12 Sep 2020, 6:14 AM
Senarai 10 Ikon Agro Selangor diumum Isnin

SHAH ALAM, 12 SEPT: Senarai 10 individu yang terpilih sebagai Ikon Agro Selangor bakal diumum pada Isnin, kata EXCO pemodenan pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata senarai peserta terbaik tersebut dipilih daripada 34 penyertaan melibatkan kategori penternakan, tanaman, industri asas tani dan akuakultur.

"Seramai 20 peserta disenarai pendek untuk menjalani proses penilaian berdasarkan penggunaan kaedah pertanian moden, pendapatan syarikat yang stabil, kelestarian alam sekitar, impak positif kepada ekonomi setempat dan kepedulian kepada masyarakat.

"Penilaian dibuat oleh wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri, jabatan dan agensi pertanian yang mewakili 70 peratus markah manakala 30 peratus berdasarkan jumlah tanda suka dan perkongsian video peserta di Facebook dan Youtube," katanya kepada SelangorKini hari ini.

Setiap ikon menerima hadiah kelengkapan pertanian dan wang tunai RM10,000 selain berperanan sebagai pembimbing golongan muda bagi melahirkan ramai petani moden.

Semua 10 Ikon Agro Selangor dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian negeri selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.