ad
ADN

ADN cadang langkah agresif bangunkan semula Pantai Morib, Kelanang

23 Ogos 2020, 12:06 PM
ADN cadang langkah agresif bangunkan semula Pantai Morib, Kelanang

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerajaan Negeri dicadang lebih agresif membangunkan semula Pantai Morib dan Pantai Kelanang, Banting dalam usaha menjadikannya sebagai pusat peranginan tumpuan pelancong.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata pembangunan itu bagaimanapun perlu melalui kajian dan penelitian secara mendalam supaya tidak memberi kesan terhadap alam sekitar.

“Tepi Pantai Morib misalnya terdapat banyak hutan paya bakau, jadi kita harus peliharanya sebaik mungkin tetapi pada masa sama memikirkan kaedah tebus guna supaya pelancong boleh mandi-manda di situ.

“Cadangan pihak swasta wajar diambil kira kerana tanah di sepanjang Pantai Morib kebanyakan dimiliki individu namun sekiranya kita dapat laksanakan sesuatu projek, kita (berhasrat) membina pantai buatan seperti di Pantai Klebang, Melaka,” katanya mengulas usaha menarik kemasukan pelancong ke Morib.

Beliau berkata kemudahan awam di kedua-dua pantai tersebut juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Kita akui tiada kemudahan hotel bertaraf lima bintang di sekitar Morib jika dibandingkan dengan tempat lain dan hanya terdapat beberapa hotel tiga bintang, namun Pantai Morib sendiri mempunyai tempat riadah dan rehat yang sesuai untuk aktiviti bersama keluarga.

“Justeru, saya lihat usaha untuk menarik ramai pelancong ke Morib mampu direalisasikan jika kemudahan awam dinaik taraf dengan baik, tambahan pula terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang secara tidak langsung memudahkan pelancong dari luar negara,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.