ad
AGENDA

Dagangan getah diunjur dalam jajaran kecil minggu depan

22 Ogos 2020, 2:09 AM
Dagangan getah diunjur dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, kata Pertubuhan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presidennya, Denis Low berkata permintaan dijangka meningkat secara perlahan ketika lebih banyak industri di serata dunia menyambung operasi atas dasar keperluan di tengah-tengah usaha membendung pandemik Covid-19 pada masa ini.

"Produktiviti getah terus mencatat kemajuan yang baik selepas hujan lebat pada minggu sebelumnya," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah didagangkan kebanyakannya rendah susulan perkembangan pasaran niaga hadapan getah serantau yang lemah di tengah-tengah penyusutan harga minyak.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) SMR20 bagi gred tayar SMR 20 meningkat 5.5 sen kepada 542.50 sen sekilogram manakala lateks pukal tidak berubah pada 470 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM untuk SMR 20 turun setengah sen kepada 539.50 sen sekilogram dan lateks pukal turun dua sen kepada 468 sen sekilogram.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.