ad
PBT

Usahawan Hulu Selangor belajar teknik kreatif promosi produk

18 Ogos 2020, 2:34 AM
Usahawan Hulu Selangor belajar teknik kreatif promosi produk

SHAH ALAM, 18 OGOS: Seramai 20 usahawan muda di Hulu Selangor didedahkan dengan teknik kreatif mempromosi produk melalui video pendek menggunakan telefon pada 15 dan 16 Ogos lalu.

Yang dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berkata program dengan kerjasama Pocket Production mengajar peserta kaedah rakaman, konsep penceritaan dan teknik suntingan.

"Program ini menarik minat usahawan untuk lebih berusaha memperkemaskan aktiviti perniagaan dengan menyediakan promosi berbentuk video pendek yang berkualiti antara 15 saat atau satu minit.

"Selain itu, ia juga meningkatkan keyakinan belia menceburi perniagaan dengan cara kreatif mengikut trend terkini malah boleh meraih pendapatan melalui penghasilan video," kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan.

Beliau turut berharap usahawan di daerah itu lebih berkeyakinan memasarkan produk masing-masing dan meningkatkan ekonomi setempat, di samping menambah pendapatan sedia ada.

Majlis penutup dirasmikan Dr Mohd Azhar di Dewan Mesyuarat MDHS dan turut dihadiri Pengarah Urusan Pocket Production Syazrol Suhaimie.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.