ad
AGENDA

Pustaka bergerak Ba-Ku perkenal sastera, budaya Taiwan di Malaysia

14 Ogos 2020, 6:26 AM
Pustaka bergerak Ba-Ku perkenal sastera, budaya Taiwan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Taipei Economic and Cultural Office (Teco) dan Persatuan Kebudayaan Han menganjurkan Projek Perpustakaan Bergerak Ba-Ku (Baca Buku) Bersama sempena sambutan Kuala Lumpur Ibu Kota Dunia 2020 dan Dekad Membaca Kebangsaan.

Wakil Teco di Malaysia, Anne Hung berkata objektif penganjuran projek ini adalah untuk memperkenalkan buku Malaysia dan Taiwan kepada pembaca muda di negara ini.

"Kami memilih 135 jenis buku dari Malaysia dan Taiwan untuk memperkenalkan kesusasteraan dan kebudayaan Taiwan kepada murid dan pelajar bersama buku-buku pelbagai bahasa yang diterbitkan di negara ini," katanya ketika berucap semasa majlis perasmian projek berkenaan hari ini.

Projek Perpustakaan Bergerak Ba-Ku (Baca Buku) Bersama itu dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Mengulas lanjut, Anne berkata sebagai permulaan, projek perpustakaan bergerak itu akan menjelajah 20 sekolah rendah dan menengah terpilih di Semenanjung Malaysia bermula 17 Ogos hingga 4 Sept ini.

"...ia adalah sebagai usaha menyemarakkan budaya membaca di sekolah dan harus dilihat sebagai pembinaan jambatan interaksi dan komunikasi.

"Ekoran pandemik Covid-19, kami turut menganjurkan sesi perkongsian secara dalam talian dengan menjemput panel-panel terpilih untuk berkongsi pengalaman mereka dalam industri buku," katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.