ad
AGENDA

SPR perlu RM1.2 bilion jika PRU mengejut dalam tempoh Covid-19

12 Ogos 2020, 6:23 AM
SPR perlu RM1.2 bilion jika PRU mengejut dalam tempoh Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu sebanyak RM1.2 bilion diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika pilihan raya umum mengejut diadakan dalam tempoh penularan Covid-19 sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata jumlah itu adalah anggaran untuk melaksanakan proses pilihan raya dengan mengambil kira tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

"SPR memaklumkan sekiranya kerajaan adakan pilihan raya snap (mengejut) untuk seluruh negara pada masa ini, pasca-Covid-19, dianggarkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion diperlukan," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di sini.

Beliau turut memberitahu Dewan Rakyat, daripada RM15 juta yang diterima SPR bagi 2019, sebanyak RM12,946,353.50 dibelanjakan untuk pelaksanaan lima pilihan raya kecil (PRK) iaitu PRK Parlimen Cameron Highlands, Parlimen Sandakan dan Parlimen Tanjung Piai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Rantau.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.