ad
AGENDA

Tujuh atlet tinju Selangor ke Sukma, sasar satu emas

11 Ogos 2020, 5:39 AM
Tujuh atlet tinju Selangor ke Sukma, sasar satu emas

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor akan menghantar tujuh atlet tinju dengan sasaran satu pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan.

Jurulatihnya, Mohd Nazwan Shah berkata setakat ini sesi latihan berjalan lancar di Seksyen 7 di sini walaupun perlu mematuhi tatacara operasi piawai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Semasa PKP tempoh hari semua atlet perlu menghantar video latihan harian kepada saya. Sekarang sesi latihan masih berjalan seperti biasa cuma belum bebas dan tiada latihan berpasangan berbanding sebelum ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah kali terakhir Selangor meraih kejayaan pada Sukma 2016 di Sarawak dengan meraih gangsa dan tidak memenangi sebarang pingat di Perak pada 2018.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai ini ditunda pada 6 hingga 14 Mac 2021, manakala Para Sukma dijadualkan pada 5 hingga 10 April tahun depan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.