ad
SELANGOR

Asrama tahfiz perempuan Banting terbakar, 131 pelajar selamat

4 Ogos 2020, 2:04 AM
Asrama tahfiz perempuan Banting terbakar, 131 pelajar selamat

SHAH ALAM, 4 OGOS: Seramai 131 pelajar perempuan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat di Banting terselamat selepas bangunan asrama didiami mereka terbakar pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata kejadian berlaku jam 5.45 pagi ketika pelajar terbabit bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

“Kebakaran berlaku di tingkat empat, tingkat atas sekali. Tindakan pantas bomba dapat memadamkan api dan hanya 40 peratus struktur tingkat hangus terbakar.

“Punca kebakaran belum diketahui dan masih disiasat. Bagaimanapun semua pelajar selamat dan tiada kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafisham berkata seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Telok Panglima Garang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang dan Seksyen 7 Petaling Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba jam 6.05 pagi selepas mendapat panggilan pada 5.49 pagi. Api padam sepenuhnya 20 minit kemudian,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.