ad
ADN

Segerakan proses ambil tanah, lancarkan naik taraf anak sungai

1 Ogos 2020, 1:00 PM
Segerakan proses ambil tanah, lancarkan naik taraf anak sungai

SHAH ALAM, 1 OGOS: Proses pengambilan tanah perlu disegerakan agar kerja naik taraf anak Sungai Udang fasa dua dapat dilaksanakan, kata ahli dewan negeri Taman Templer.

Mohd Sany Hamzan berkata ia bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan berkenaan sehingga menjejaskan puluhan rumah dan penduduk.

"Saya berharap Kerajaan Negeri dan persekutuan dapat mencapai kata sepakat termasuk berbincang dengan pemilik mengenai pengambilan tanah ini agar kerja naik taraf fasa kedua boleh dilaksanakan dan berjalan lancar," katanya kepada SelangorKini.

Mengulas mengenai tindakan jangka pendek dan panjang bagi atasi banjir di kawasan itu, Mohd Sany berkata pihaknya telah membersihkan anak sungai dan merancang bina kolam tadahan air.

"Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sedang kenal pasti kawasan strategik untuk membina kolam takungan ini," katanya.

Semalam, 25 rumah terjejas di Jalan 27, 23 dan 21 Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer kerana hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi kelmarin.

Susulan kes itu, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Taman Templer meninjau kawasan tersebut dan membantu mengepam keluar air yang terperangkap di dalam rumah termasuk beri bantuan makanan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.