ad
AGENDA

85 peratus projek perumahan kembali beroperasi - Rehda

22 Jul 2020, 4:41 AM
85 peratus projek perumahan kembali beroperasi - Rehda

SHAH ALAM, 22 JULAI: Sebanyak 85 peratus projek perumahan seluruh negara kembali beroperasi selepas tergendala sejak Mac lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) berkata terdapat pemaju melakukan ubah suai pelan asal rumah bagi mengurangkan kos pembinaan, sekaligus menurunkan harga pasaran hartanah.

"Ketidaktentuan ekonomi dalam dan luar negara yang terkesan dengan penularan Covid-19 menyebabkan sektor perumahan bergerak perlahan dan jangkaan Rehda keadaan ini berterusan sehingga akhir tahun.

"Setakat ini pemaju perumahan yang berdaftar di bawah Rehda masih mampu bertahan dan tiada yang gulung tikar, namun kita berharap ekonomi negara pulih sepenuhnya tahun hadapan bagi mengelak kesan

lebih buruk," kata Datuk Ir Soam Heng Choon kepada SelangorKini.

Beliau berkata prestasi sektor perumahan bergantung kepada keberkesanan insentif cukai diperkenalkan kerajaan bagi merancakkan semula pasaran.

"Kempen Pemilikan Rumah (HOC) memberi pengecualian duti setem terhad kepada RM1 juta pertama bagi pembelian rumah bernilai RM300,000 hingga RM2.5 juta.

"Selain itu had pembiayaan pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah diharap merancakkan sektor ini," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.