ad
AGENSI

Kesan banjir kilat Selangor parah, MB bawa isu ke MTES

20 Jul 2020, 8:46 AM
Kesan banjir kilat Selangor parah, MB bawa isu ke MTES
Kesan banjir kilat Selangor parah, MB bawa isu ke MTES
Kesan banjir kilat Selangor parah, MB bawa isu ke MTES

DENGKIL, 20 JULAI: Kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Selangor baru-baru ini hampir melumpuhkan pergerakan dan aktiviti harian penduduk, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan membawa isu berkenaan ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) kerana ia juga dilihat memberi kesan agak parah kepada mangsa.

"Setakat ini Kerajaan Negeri memberi bantuan kecemasan RM500 kepada mangsa, saya minta supaya penduduk buat laporan polis segera bagi mendapatkan bantuan.

"Namun kita lihat kesannya agak teruk termasuk rumah dan barang kelengkapan mangsa yang musnah, jadi kita akan bawa ke MTES pada Khamis ini atau minggu depan," katanya kepada media selepas melawat pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Dengkil di sini hari ini.

[caption id="attachment_425226" align="aligncenter" width="560"] Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari melawat mangsa banjir di Dewan SJK(C) Dengkil pada 20 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Sehingga kini seramai 274 mangsa ditempatkan di pusat berkenaan membabitkan 62 keluarga.

Selain SJKC Dengkil, enam lagi pusat pemindahan dibuka di Dengkil iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, SRA Dato' Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Kampung Jenderam Hilir dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang.

Turut dibuka ialah Dewan Orang Ramai Dengkil dan Dewan MPKK Timah Langat yang menempatkan warganegara Myanmar.

Kelmarin, 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.

Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan tertinggi iaitu 22, Sepang (12), Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan satu di Klang.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.