ad
AGENDA

Ismail Sabri: 383 individu ingkar PKP ditahan

20 Jul 2020, 7:58 AM
Ismail Sabri: 383 individu ingkar PKP ditahan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seramai 383 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 32 individu direman manakala 351 dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam kelab malam melibatkan 328 individu manakala 55 individu ditahan kerana melakukan aktiviti tanpa mematuhi penjarakan sosial.

"Selain itu sembilan premis diberi nasihat, manakala tiga diberi amaran kerana tidak patuh tatacara operasi piawai (SOP)," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menjalankan pemantauan harian 12 jenis barangan di 684 premis perniagaan melibatkan peruncit (514), pemborong (145) dan pengilang (25).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.