AGENDA

KKM kesan kluster baharu libatkan penjaja Pasar Stutong

18 Jul 2020, 10:34 AM
KKM kesan kluster baharu libatkan penjaja Pasar Stutong

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kluster baharu di Pasar Stutong, Sarawak apabila dua kes didapati positif Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster itu dikesan hasil saringan penjaja pasar terbabit yang dikenal pasti sebagai salah satu kumpulan sasar.

"Pasar ini ditutup sementara waktu bagi aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan serta nyah kuman. Punca jangkitan kluster masih dalam siasatan," kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata 218 penjaja disaring membabitkan 213 warganegara termasuk lima warga asing terdiri daripada tiga warga China, Indonesia (satu) dan Vietnam (satu).

Katanya, daripada jumlah saringan itu, 56 orang disampel dan keputusan pensampelan mendapati 54 negatif.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata lima kes positif dilaporkan daripada 70 individu yang disaring dalam kluster Mambong setakat 12 tengah hari.

"Seramai 65 orang menunggu keputusan dan kluster ini melibatkan warganegara Malaysia serta seorang warga asing (Filipina) yang merupakan kes indeks ke-8,732," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.