ad
AGENDA

Pengamal perubatan lulusan luar negara wajib lalui proses verifikasi

12 Jul 2020, 12:32 AM
Pengamal perubatan lulusan luar negara wajib lalui proses verifikasi

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Semua pengamal perubatan lulusan luar negara yang ingin berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) wajib melalui proses ‘Primary Source Verification’ untuk pengesahan ijazah dan transkrip mereka berkuat kuasa sejak 1 Jun tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini.

Menurut Dr Noor Hisham, proses verifikasi itu diwajibkan kepada semua pengamal perubatan warganegara dan bukan warganegara yang merupakan siswazah luar negara sebelum mereka didaftarkan dengan MPM.

“Ini tidak melibatkan pengamal perubatan yang telah mendaftar dengan MPM sebelum 1 Jun 2020. Kaedah ini adalah untuk permohonan baru sahaja,” katanya.

Keperluan melalui ‘Primary Source Verification’ diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia ke-395 pada 21 Jan tahun ini susulan terdapat kekeliruan antara pengamal perubatan mengenai pelaksanaan keputusan itu.

Pendaftaran dengan MPM adalah bertujuan untuk memohon Sijil Pendaftaran Penuh, Sijil Pendaftaran Sementara, Sijil Perakuan Amalan Sementara, pendaftaran bagi tujuan pascasiswazah atau latihan klinikal pascasiswazah atau fellowship atau ‘clinical attachment’.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.