ad
AGENDA

AL Jazeera: Bukit Aman panggil empat individu beri keterangan

10 Jul 2020, 4:11 AM

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Empat individu termasuk petugas agensi berita antarabangsa Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung sebuah dokumentari mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin ketika penularan wabak Covid-19.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama berkata antara yang dipanggil ialah pengendali dan wartawan Al Jazeera bagi membantu siasatan itu.

Mereka tiba di Bukit Aman bersama tujuh peguam kira-kira 8.50 pagi tadi dan cuba mengelak ditemu bual pemberita di lokasi.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Pada Rabu lepas, Bernama melaporkan sebanyak lima laporan polis dibuat oleh beberapa pihak termasuk Jabatan Imigresen Malaysia berhubung dokumentari yang disiarkan agensi berita itu dan polis mengenal pasti beberapa individu untuk dipanggil bagi membantu siasatan kes.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.