ad
AGENSI

Sidang kemuncak perniagaan antarabangsa Selangor diterus dalam talian

19 Jun 2020, 8:56 AM
Sidang kemuncak perniagaan antarabangsa Selangor diterus dalam talian

SHAH ALAM, 19 JUN: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 akan diteruskan secara dalam talian, kata ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor).

Datuk Hasan Azhari Idris berkata pelaksanaan program bermula 14 hingga 17 Oktober rentetan dari pandemik Covid-19 dapat menerapkan teknologi dalam menjalankan aktiviti perniagaan.

"Ia turut memberi peluang lebih luas kepada orang awam yang berminat, ini kerana mereka boleh mengikuti sidang kemuncak hanya dari tempat kerja atau rumah dalam keadaan lebih selesa," katanya dalam kenyataan.

Hasan Azhari berkata SIBS 2020 menawarkan pelbagai sesi termasuk pameran maya, webinar, persidangan secara siaran langsung dan peluang padanan perniagaan.

"Persidangan perniagaan ini membantu semula syarikat tempatan dan antarabangsa menghadapi cabaran serta menawarkan saluran pemasaran baharu," katanya.

SIBS adalah sidang kemuncak perniagaan tahunan anjuran Kerajaan Negeri serta dihadiri kebanyakan pemain industri dan pengunjung dari rantau ASEAN.

Sebelum ini, SIBS 2020 dijangka diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur serta disasar menjana transaksi perniagaan bernilai RM350 juta.

Ia meliputi empat acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.