ad
AGENDA

Kerajaan tegas hantar pulang pendatang negatif Covid-19

26 Mei 2020, 8:11 AM
Kerajaan tegas hantar pulang pendatang negatif Covid-19

SHAH ALAM, 26 MEI: Kerajaan bertegas akan menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (Pati) di Depot Tahanan Imigresen selepas didapati negatif Covid-19 ke negara asal masing-masing, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehubungan itu kesemua tahanan Pati di Depot Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih perlu menjalani saringan wabak sebelum proses penghantaran pulang bermula.

"Mesyuarat Khas Pengurusan Pati hari ini juga meminta supaya Kementerian Luar Negeri berbincang dengan rakan sejawat dan kedutaan negara terlibat bagi urusan menerima rakyat mereka.

"Mereka (Pati) yang positif kita akan rawat terlebih dahulu tetapi yang negatif akan segera dihantar pulang, arahan ini tertakluk kepada semua depot tahanan imigresen seluruh negara," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut membidas kumpulan hak asasi yang kononnya mempertikaikan tindakan kerajaan masih lagi menahan Pati sedangkan Covid-19 meningkat dalam kumpulan terbabit.

"Kerajaan tidak akan tunduk dengan mereka ini, tangkapan dilakukan kerana Pati melanggar undang-undang negara. Negara mana dalam dunia yang benarkan seseorang itu masuk tanpa dokumen sah?

"Tindakan dilakukan kerajaan juga untuk kepentingan umum, jika kita biarkan Pati ini, mungkin ada yang positif Covid-19 sekali gus mereka akan memudaratkan rakyat," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.