ad
AGENDA

Covid-19: 13 kluster diisytiharkan tamat - KKM

21 Mei 2020, 7:19 AM
Covid-19: 13 kluster diisytiharkan tamat - KKM

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Jumlah keseluruhan kluster Covid-19 yang tamat ialah 13 tempat, selepas dua kluster diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 18 Mei lepas.

Dalam satu hantaran laman Facebook rasmi KKM, kementerian itu memperincikan kesemua kluster berkenaan ialah Kluster Seksyen 6 Bandar Baru Bangi, Kluster Warga Emas (pusat jagaan warga emas), Kluster Bandar Baru Bangi (Majlis Perkahwinan), Kluster Selayang (Pasar Harian), Kluster Rembau, Kluster Tabligh Pakistan, Kluster Petugas Kesihatan Sungai Buloh, Kluster Pekan, Kluster Kilang Pasir Gudang, Kluster BBIM, Kluster Tabligh Makassar Sabah, Kluster Pengerang dan Kluster Istana Negara.

KKM turut menjelaskan, ‘Kluster Diisytiharkan Tamat’ bermaksud tiada lagi kes baharu dicatatkan dalam sesuatu kluster berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan.

"Kriteria utama untuk menamatkan sesuatu kluster adalah tiada kes baharu selepas dua kali tempoh inkubasi (14hari/satu inkubasi) iaitu 28 hari selepas tarikh gejala bagi kes yang terakhir atau tarikh positif Covid-19 jika kes terakhir tiada gejala.

"Contohnya, kluster A, tarikh positif kes terakhir (tiada gejala) dalam kluster itu ialah 1/4/2020, ini bermaksud jangkaan tamat bagi kluster A ialah 29/4/2020. Dalam hal ini, kita dapat lihat bahawa tempoh antara 1/4/2020–29/4/2020 adalah bersamaan 28 hari," katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.