ad
AGENDA

Bicara SRC: Pendakwaan, pembelaan selesai jawab hujahan bertulis

20 Mei 2020, 1:10 PM
Bicara SRC: Pendakwaan, pembelaan selesai jawab hujahan bertulis

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Pendakwaan mahupun pembelaan dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan SRC International Sdn Bhd masing-masing telah mengemukakan jawapan kepada hujahan bertulis setebal hampir 1,000 muka surat.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan berkata pendakwaan mengemukakan jawapan setebal 336 muka surat kepada hujahan bertulis pembelaan manakala pembelaan mengemukakan jawapan setebal 446 muka surat kepada hujahan bertulis pendakwaan.

"Kedua-dua pihak sepatutnya memfailkan hujahan balas masing-masing kepada mahkamah semalam. Bagaimanapun, pendakwaan memohon tambahan dua hari untuk menjawab kerana hujahan bertulis pembelaan terlalu tebal.

"Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan kami untuk mendapatkan lanjutan masa selama dua hari. Bagaimanapun, kami telah memfailkan hujahan balas kami pada awal hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 5 Mei, pembelaan mengemukakan hujahan bertulis setebal 643 muka surat manakala pendakwaan setebal 306 muka surat kepada Mahkamah Tinggi dan kedua-dua pihak perlu menjawab hujah masing-masing.

Pendengaran bagi hujahan lisan ditetapkan tiga hari mulai 1 Jun.

Pada 11 Mac, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi yang memberi keterangan selama 33 hari sejak 3 Diembers tahun lepas.

Sebelum itu, pendakwaan memanggil 57 saksi.

Pada 11 November tahun lepas, Najib diarah membela diri atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.