ad
AGENSI

Polis jalan operasi patuh PKPB di Petaling Jaya

17 Mei 2020, 8:49 AM
Polis jalan operasi patuh PKPB di Petaling Jaya

PETALING JAYA, 17 MEI: Polis mempergiatkan operasi di sekitar bandar raya ini bagi memastikan orang ramai terus patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei lalu.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam kenyataannya memaklumkan gerak kerja itu diatur menerusi sistem rondaan 'Aberdeen' Kereta Peronda Polis (MPV) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi 'Ops Amaran dan Sapu' bagi tujuan berkenaan.

"Operasi dijalankan di sekitar Pasar Besar Chempaka dan Pasar Taman Megah SS24 bagi membuat hebahan serta memberi arahan keras kepada sesiapa yang tidak mematuhi PKPB sebelum tindakan diambil mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membantu bagi memeriksa lesen permit perniagaan yang sah setiap peniaga," katanya melalui Facebook.

Kenyataan sama menjelaskan polis turut menjalankan pemeriksaan secara 'snap check' terhadap pengguna jalan raya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

"Justeru, masyarakat dinasihatkan supaya terus mengekalkan disiplin dan tidak sewenang-wenangnya keluar rumah tanpa alasan munasabah," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.