ad
AGENDA

Jumlah anggota ATM bantu kuat kuasa PKP kekal lebih 7,000

15 Mei 2020, 4:09 AM
Jumlah anggota ATM bantu kuat kuasa PKP kekal lebih 7,000

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat membantu agensi penguatkuasa lain menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kekal lebih 7,000 anggota, kata Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata jumlah berkenaan kekal walaupun PKP telah memasuki fasa baharu iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sehingga kini pihaknya banyak membantu penugasan sekatan jalan raya, membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan Covid-19 dan menghantar bantuan peralatan, kelengkapan, pakaian perlindungan diri (PPE) di Sabah serta Sarawak.

ATM turut membantu dalam memasang kawat duri di kawasan dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dalam memudahkan pihak KKM melakukan saringan di kawasan misalnya di Pasar Jalan Othman iaitu kawasan PKPD Kelapan yang masih berjalan,” katanya dalam program 'Selamat Pagi Malaysia' di Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Affendi berkata, khidmat ATM akan terus dikerah selagi mana ia diperlukan dalam bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain sepanjang tempoh PKP ini.

“Kini masuk ke fasa PKPB, ATM terus melaksakan tanggungjawab sama dalam membuat sekatan, rondaan serta memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dipatuhi,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.