ad
AGENDA

Reman pemandu mabuk rempuh polis disambung lagi

11 Mei 2020, 6:24 AM
Reman pemandu mabuk rempuh polis disambung lagi

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Reman terhadap lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh seorang anggota polis menyebabkannya maut dalam Sekatan Jalan Raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Kajang disambung hingga Rabu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan ringkas memaklumkan permohonan untuk menyambung reman lelaki itu dilakukan di mahkamah pagi ini dan dibenarkan disambung reman tiga hari lagi sehingga 13 Mei.

Pemandu Toyota Hilux itu ditahan pada 3 Mei lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 8 Mei.

Bagaimanapun lelaki itu ditahan semula dan direman tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam insiden pada 2.11 pagi, 3 Mei lepas, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan jenis Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.