ad
AGENDA

E-Bazar Ramadan bawa rakyat Malaysia jalani norma baharu

8 Mei 2020, 4:06 AM
E-Bazar Ramadan bawa rakyat Malaysia jalani norma baharu

SHAH ALAM, 8 MEI: Konsep e-Bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka secara dalam talian antara norma baharu rakyat Malaysia susulan penularan Covid-19.

Memetik portal Astro Awani, larangan niaga secara fizikal memaksa peniaga bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meraih pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ketua Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Grab Ebi Azly Abdullah berkata permintaan terhadap e-bazar wujud sebelum PKP kemudian diperluaskan dengan kerjasama Kerajaan Selangor.

"Cabaran peniaga ialah adaptasi secara digital. Mereka perlu berada di lokasi e-dapur pada 12 tengah hari dan menggunakan peralatan elektronik untuk menerima serta memproses tempahan secara dalam talian," katanya.

Terdapat 11 lokasi e-dapur yang beroperasi iaitu Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya dan Batu Caves.

Pada 24 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penyediaan 200 ruang niaga untuk menjual juadah berbuka puasa melalui Grab dan Platform Selangor (Plats).

Penghantaran makanan melalui dua saluran e-dagang tersebut dibuat melalui Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch bermula 2.30 sehingga 5.30 petang.

Antara norma baharu lain ialah membuat transaksi dalam talian termasuk mencari rumah sewa, menganjurkan acara atau seminar secara dalam talian dan menggunakan khidmat 'Doctor On Call'.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.