ad
AGENDA

Sektor dapat kebenaran boleh operasi tanpa sekatan mulai esok

28 Apr 2020, 2:01 PM
Sektor dapat kebenaran boleh operasi tanpa sekatan mulai esok

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Sektor ekonomi yang dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan tahap satu, dua dan tiga boleh beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing bermula esok.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata syarikat dalam sektor yang dibenarkan wajib mematuhi syarat tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata syarikat yang diluluskan untuk beroperasi sebelum ini tidak lagi perlu memohon kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri untuk mendapatkan kebenaran.

Menurutnya, inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik serta luar negara, sekali gus memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana.

“Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan “kebiasaan baharu” dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan,” katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.