ad
AGENDA

Covid-19 tidak kenal asal dari 'kayangan atau bumi' - menteri kanan

10 Apr 2020, 7:38 AM
Covid-19 tidak kenal asal dari 'kayangan atau bumi' - menteri kanan

PUTRAJAYA, 10 APRIL: Wabak Covid-19 tidak mengenal sama ada seseorang itu berasal dari 'kayangan' ataupun bumi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada mereka yang bersikap biadab dan enggan memberi kerjasama kepada petugas kesihatan yang terlibat dalam pengurusan wabak itu.

Beliau menegaskan bahawa kedudukan dan darjat seseorang itu tidak sama sekali boleh menjamin mereka terselamat daripada virus pembunuh itu.

"Saya harap mereka yang berkedudukan tinggi itu sepatutnya lebih bertamadun daripada orang lain dan berikanlah kerjasama kepada petugas barisan hadapan.

"Kerana seperti saya katakan kedudukan tinggi tidak menjamin mereka terselamat daripada Covid-19," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas luahan kekecewaan petugas barisan hadapan seperti doktor dalam media sosial berikutan terpaksa berhadapan dengan golongan yang dikategorikan sebagai 'turun dari kayangan', yakni yang baru pulang dari luar negara.

Menerusi perkongsian dalam media sosial, ada antara mereka yang kebanyakannya golongan elit, dikatakan enggan menjalani kuarantin wajib dan sanggup melontarkan kata-kata jelik kepada petugas kesihatan yang membuat pemeriksaan kesihatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.