ad
AGENDA

Covid-19: Arab Saudi kuat kuasa perintah berkurung di Makkah, Madinah

3 Apr 2020, 4:30 AM
Covid-19: Arab Saudi kuat kuasa perintah berkurung di Makkah, Madinah

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Arab Saudi mengenakan perintah berkurung 24 jam di Makkah dan Madinah pada Khamis sehingga diberitahu kelak, sebagai langkah terbaru memerangi penularan wabak Covid-19, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Mengikut sumber rasmi di Kementerian Dalam Negeri, hanya orang dewasa dibenarkan keluar rumah untuk tujuan mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan, dari 6 pagi hingga 3 petang.

Maksimum dua orang dibenarkan berada dalam sebuah kereta pada satu-satu masa, termasuk pemandu.

Larangan itu terkecuali kepada mereka yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta yang penting.

Hanya farmasi, kedai bekalan makanan, stesen minyak dan perkhidmatan perbankan dibenarkan beroperasi.

"Kementerian Dalam Negeri menyeru rakyat dan penduduk menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk membeli makanan, ubat-ubatan dan barang keperluan."

Selain itu, kementerian memberi jaminan langkah berkenaan diambil dalam usaha menjaga kesihatan masyarakat dan mencegah penularan Covid-19, tertakluk kepada penilaian berterusan pihak berkuasa kesihatan berkaitan.

Kementerian juga menyeru orang ramai memahami tanggungjawab masing-masing, mematuhi arahan serta langkah pengasingan demi kepentingan awam.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.