ad
AGENDA

Tunda atau tidak, nasib Sukma 2020 ditentukan esok

23 Mac 2020, 11:48 PM
Tunda atau tidak, nasib Sukma 2020 ditentukan esok

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Nasib penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor dijangka diketahui esok apabila Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma diadakan melalui persidangan video berikutan pandemik Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pada mesyuarat yang bakal dipengerusikannya, penangguhan Sukma 2020 antara opsyen yang akan dipertimbangkan.

“Antara implikasi dan aspek yang akan diambil kira adalah persiapan atlet, cabaran dan kekangan teknikal penganjuran, pandangan dan kekhuatiran pihak penaja untuk aktiviti promosi, pemasaran, liputan media dan program pra-Sukma yang berkaitan.

“Di samping itu, isu paling utama ialah aspek keselamatan dan kesihatan risiko Covid-19 itu sendiri ke atas hampir 30,000 orang (atlet, pegawai, petugas, petugas media dan sukarelawan), ini tidak termasuk jumlah penyokong dan penonton yang akan hadir di pelbagai lokasi kejohanan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh semua 14 exco Belia dan Sukan Negeri, termasuk exco negeri Johor selaku penganjur, wakil Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia (MS ATM) dan Majlis Sukan Polis DiRaja Malaysia (MS PDRM).

Sukma Johor dijadualkan berlangsung bermula 11 hingga 19 Julai ini, namun penularan wabak Covid-19 mungkin akan menyebabkan temasya itu ditunda ke tarikh lain.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.