ad
AGENDA

Fomca: Elak belian panik, batas pergerakan

17 Mac 2020, 5:04 AM
Fomca: Elak belian panik, batas pergerakan

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Orang ramai diminta melihat Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam daripada sudut positif dan memastikan aktiviti mereka seiring dengan objektif perintah itu untuk mengekang wabak Covid-19.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata orang ramai perlu membataskan pergerakan di luar rumah selain mengelakkan pembelian panik.

Tujuan membataskan pergerakan di luar rumah untuk mengelakkan orang ramai daripada berlakunya kontak dengan individu lain.

"Dalam keadaan sekarang, (masyarakat) perlu lebih banyak berada di rumah, kalau perlu pergi ke kedai, ia untuk membeli barang keperluan sahaja.

"Jangan ambil kesempatan untuk bersiar-siar bagi mengelakkan Covid-19 ini daripada merebak dengan lebih mudah," katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau menasihatkan peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengeruhkan keadaan dengan menaikkan harga barangan.

"Sepatutnya rantaian bekalan itu bergerak seperti biasa kerana setakat ini tiada kawalan dari segi pergerakan barangan, contohnya, lori membawa bahan dan sebagainya... tiada sekatan.

"Maknanya harga barang tidak sepatutnya dinaikkan. Peniaga perlu memainkan peranan supaya barang mencukupi kerana dalam keadaan sekarang pengguna tidak boleh nak bergerak jauh," katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.