ad
AGENDA

MB: Tidak sekadar mengajar, guru tahfiz perlu dekati masyarakat

13 Mac 2020, 11:43 AM
MB: Tidak sekadar mengajar, guru tahfiz perlu dekati masyarakat

OLEH AMIN RIDZUAN ISHAK

SHAH ALAM, 13 MAC: Pengurusan sekolah agama termasuk maahad tahfiz digesa terlibat aktif dengan komuniti setempat bagi kelancaran institusi berkenaan, kata Dato' Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut meminta guru menghadiri program kemasyarakatan di sekitar tempat mengajar dan tidak sekadar menyumbang khidmat di sekolah.

"Guru tahfiz dipandang mulia oleh masyarakat, justeru mereka perlu menampilkan diri supaya dikenali dan komuniti dapat mengambil manfaat ilmu serta pengalaman dimiliki.

“Mereka juga perlu aktif sebagai ahli jawatankuasa masjid atau surau di samping peranannya memberi syarahan, ceramah atau kuliah, hatta menjadi khatib solat Jumaat di masjid atau surau,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) kali ketujuh di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berharap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terus membina hubungan baik bersama sekolah tahfiz persendirian yang berdaftar dengannya.

“Saya menyokong penuh usaha Jais yang membabitkan sekolah tersebut dengan program seperti kejohanan sukan dan Kemahiran Amal Islami.

“Pengalaman MITS melahirkan pelajar cemerlang harus dikembangkan untuk membantu Kerajaan Negeri melahirkan pelajar tahfiz persendirian yang berkualiti serta cemerlang,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.