ad
AGENDA

Majlis Paralimpik Malaysia bantah penundaan Sukan Para Asean 2020

11 Mac 2020, 11:31 AM
Majlis Paralimpik Malaysia bantah penundaan Sukan Para Asean 2020

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan menghantar surat bantahan kepada Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) minggu depan selepas tuan rumah, Filipina dilaporkan meminda tarikh penganjuran kepada 26 Mei hingga 2 Jun ini.

Presidennya Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin mendakwa hanya menyedarinya selepas Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina Michael Barredo mengumumkan perenang paralimpik Ernie Gawilan sebagai pembawa bendera negara itu ke temasya sukan dwitahunan berkenaan, Selasa lalu.

Katanya, Barredo membuat keputusan secara ‘unilateral’ tanpa merujuk kepada ahli majlis APSF, sekali gus bercanggah dengan prosedur ditetapkan untuk penganjuran sesebuah temasya sukan..

“Hanya Malaysia dan Singapura sahaja yang tidak bersetuju dengan tindakan Filipina menunda tarikh sukan tersebut buat kali kedua,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mendakwa APSF menolak permohonan Filipina untuk menunda penganjuran Sukan Para Asean 2020 kali kedua berdasarkan beberapa faktor.

Antaranya, Filipina gagal menyerahkan perancangan garis panduan pertandingan kepada APSF, tiada kepastian berhubung langkah diambil kerajaan Filipina mengekang penyebaran wabak Covid-19, selain APSF tidak pernah dirujuk mana-mana pihak berhubung status penganjuran temasya sukan berkenaan.

Megat Shahriman berkata penundaan tarikh berkenaan tidak boleh diterima memandangkan ia bertindih dengan sambutan Aidilfitri dan bakal mengganggu persiapan atlet paralimpik negara menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 25 Ogos sehingga 6 September ini.

Temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara itu pada awalnya dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Januari, namun ditunda ke tarikh baharu pada 20 hingga 28 Mac susulan kekurangan bajet, manakala penundaan kali kedua dipercayai berkaitan penularan Covid-19.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.