ad
BERITA UTAMA

Dr M: Tiada majoriti, Muhyiddin bukan PM sebenar

1 Mac 2020, 4:00 AM
Dr M: Tiada majoriti, Muhyiddin bukan PM sebenar

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Tidak sampai dua jam sebelum majlis angkat sumpah Perdana Menteri yang baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah PM yang sebenar kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.

Dr Mahathir, Perdana Menteri sementara memberitahu persidangan akhbar bahawa sebaliknya beliau mendapat sokongan majoriti daripada 114 Ahli Parlimen, hasil daripada gabungan Pakatan Harapan, Warisan dan beberapa Anggota Parlimen bebas, sesetengahnya daripada parti beliau sendiri, Bersatu.

“Tan Sri Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu,” katanya pada persidangan akhbar yang diadakan di Yayasan Albukhary di sini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan pergi ke istana untuk mewakili senarai 114 Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Beliau juga berkata, mereka (kumpulan beliau) akan memohon agar persidangan Parlimen disegerakan untuk melihat siapa sebenar yang mendapat sokongan majoriti.

Ditanya berapa ramai Ahli Parlimen menyokong beliau sehingga 4.00 petang semalam, beliau menjawab: “Sembilan puluh dua”.

“… tetapi apabila ditambah dengan saya dan yang lain, tentunya kami mempunyai majoriti. Majoriti itu dicapai daripada Pakatan Harapan, Warisan dan anggota bebas, yang memberi sokongan mereka kepada kami, bukan kepada Pakatan, (tetapi) kepada kumpulan ini, yang saya ketuai

Dr Mahathir berkata, susulan Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, beliau perlu menamatkan kedudukannya sebagai perdana menteri sementara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.