AGENDA

Pengurusan pusat beli-belah perlu tingkat pencegahan Covid-19

15 Feb 2020, 9:04 AM
Pengurusan pusat beli-belah perlu tingkat pencegahan Covid-19

PUTRAJAYA, 15 FEB: Pengurusan pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan diingatkan supaya meningkatkan langkah pencegahan Covid-19 dengan mengikut saranan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

"Keadaan masih terkawal. Setakat ini tidak ada keperluan untuk menutup mana-mana pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan dan tidak ada permintaan dari KKM untuk pihaknya berbuat demikian.

"Apa yang penting semua pihak termasuk pengurusan pusat membeli-belah dan pengunjung mengamalkan langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh KKM," katanya ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari di sini hari ini.

Baru-baru ini, KKM mengeluarkan panduan langkah pencegahan Covid-19 di pusat membeli-belah di mana pemilik premis perlu kerap melakukan disinfeksi di eskalator dan susur tangan, troli, tombol pintu dan butang lif.

Pengunjung pusat membeli-belah pula perlu kerap membasuh tangan dengan sabun dan air serta menggunakan cecair pembasmi kuman tangan selain memakai penutup mulut dan hidung.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 21 kes positif Covid-19 dengan 15 kes melibatkan warganegara China dan enam merupakan warganegara Malaysia. Daripada 21 kes positif ini, tujuh individu sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.