ad
ADN

Kadar tol turun, berita baik untuk rakyat

17 Jan 2020, 9:09 AM
Kadar tol turun, berita baik untuk rakyat

SHAH ALAM, 17 JAN: Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di lapan lebuh raya PLUS Berhad (PLUS) disifatkan berita baik untuk rakyat, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor.

ADN Sekinchan Ng Suee Lim berkata inisiatif yang membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) komited merealisasikan manifesto.

"Ini berita baik untuk rakyat menikmati faedah yang selama ini didahagakan. Pakatan berusaha keras menunaikan janji selepas mengambil alih tampuk pemerintahan.

"Walaupun (tol) belum dihapuskan sepenuhnya, namun ini permulaan yang baik," katanya kepada SelangorKini melalui WhatsApp.

Sementara itu, ADN Pandan Indah Ir Izham Hashim yakin kerajaan akan terus mencari jalan untuk menurunkan kadar tol secara berperingkat.

"Ini satu langkah yang baik. Penurunan harga tol akan mempunyai kesan berganda dalam mengawal kadar inflasi," katanya yang juga EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan kadar bayaran tol di lapan lebuh raya dibekukan selama 38 tahun mulai 1 Februari.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.