ad
AGENDA

PRK Kimanis: Polis terima 11 laporan

14 Jan 2020, 7:52 AM
PRK Kimanis: Polis terima 11 laporan

PENAMPANG, 14 JAN: Polis menerima 11 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sepanjang tempoh berkempen sehingga hari ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, enam kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan.

"Antara siasatan dilakukan adalah berhubung kes sogokan, fitnah, mengaibkan dan melakukan khianat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 181 permit bagi tujuan berkempen dan ceramah umum dipohon oleh dua parti bertanding, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen sehingga semalam iaitu Warisan memohon 112 permit manakala BN sebanyak 69 permit.

Omar turut menasihatkan orang ramai dan penganjur mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa Himpunan Solidariti Rakyat Bantahan Aman Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan berlangsung di Pekan Membakut, Kimanis, esok.

“Polis sudah meluluskan permohonan untuk mengadakan perhimpunan berkenaan. Oleh itu, saya mahu pihak penganjur menasihatkan agar semua yang hadir mematuhi peraturan ditetapkan.

“Jangan melakukan sebarang provokasi sehingga mendatangkan kekecohan dan pergaduhan. Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada sesiapa sahaja yang menimbulkan kekecohan,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.