ad
EXCO

EXCO galak lebih banyak pangsapuri tubuh Pusat Kitar Strata

23 Nov 2019, 9:31 AM
EXCO galak lebih banyak pangsapuri tubuh Pusat Kitar Strata

SHAH ALAM, 23 NOV: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) digalak untuk menubuhkan Pusat Kitar Strata di pangsapuri jagaan mereka.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, penubuhan Pusat Kitar Strata sebagai medium untuk membudayakan amalan kitar semula sekali gus menyumbang kepada pengurangan sampah secara signifikan.

Katanya, sehingga kini hanya 27 pangsapuri kos rendah di sekitar Selangor yang sudah menubuhkan Pusat Kitar Strata.

"Tahniah diucapkan kepada JMB dan MC yang mengambil pendekatan kreatif lagi inovatif dalam usaha mendidik komuniti pangsapuri.

"Tanpa melihat keuntungan kewangan semata-mata, penduduk terdidik untuk mengurus sisa pepejal dengan kaedah yang wajar melalui idea kreatif seperti penubuhan Pusat Kitar Strata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perhimpunan Perdana JMB/Perbadanan Pengurusan (MC) peringkat Selangor 2019 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Haniza berkata, berdasarkan statistik Belanjawan 2020, Selangor mencatatkan purata kutipan sampah sebanyak 7,000 tan dan 92 peratus adalah dari penduduk bandar.

"Malah, penduduk pangsapuri pula adalah 30 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi bandar, maka bayangkan jika JMB dan MC mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Kitar Strata itu.

"Saya yakin suasana pangsapuri yang bersih, ceria dan harmoni pasti dapat diwujudkan," katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri komited dalam memberikan sokongan kepada JMB dan MC yang berusaha mewujudkan program menjurus ke arah pengupayaan rakyat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.