ad
AGENDA

Perbelanjaan pelancong asing ke Malaysia meningkat 6.8 peratus

14 Nov 2019, 5:35 AM
Perbelanjaan pelancong asing ke Malaysia meningkat 6.8 peratus

SHAH ALAM, 14 NOV: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berjaya merekodkan peningkatan  perbelanjaan pelancong asing ke Malaysia berjumlah RM41.69 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun 2019.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 6.8 peratus berbanding kutipan RM39 bilion bagi tempoh sama pada 2018.

"Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian, jumlah hasil pendapatan daripada perbelanjaan pelancong asing bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM84.14 bilion, meningkat sebanyak 2.4% berbanding tahun lalu iaitu RM82.17 bilion.

"Manakala, bagi tempoh Januari hingga Jun 2019, sebanyak RM41.69 bilion telah dibelanjakan oleh pelancong asing, meningkat sebanyak 6.8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu  iaitu sebanyak RM39 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, membeli-belah merupakan komponen perbelanjaan terbesar yang mewakili 35.3% daripada keseluruhan perbelanjaan.

Bagi pelancongan domestik pula, sejumlah RM92.6 bilion telah dibelanjakan pada tahun 2018 berbanding RM83.1 bilion pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak 11.4 peratus.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.