ad
AGENDA

Dikwan raih gangsa kejohanan para dunia di Dubai

11 Nov 2019, 3:41 AM
Dikwan raih gangsa kejohanan para dunia di Dubai

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Atlet paralimpik kebangsaan, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi merangkul pingat gangsa dalam acara 100m lelaki T36 (palsi serebrum) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, semalam.

‘’Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018 itu mencatat masa 11.97 saat dan catatan itu tidak jauh daripada rekod terbaiknya, 11.87 saat yang dicatatnya pada Sukan Para Asia Jakarta 2018,’’ menurut laman web Paralimpik, www.paralympics.org.

Atlet Australia, James Turner melakar rekod dunia baharu, 11.72 saat untuk meraih pingat emas manakala Yang Yifei dari China merangkul perak dengan mencatatkan rekod baharu Asia 11.79 saat, memadamkan rekod sebelumnya yang dipegang Mohamad Ridzuan di Jakarta.

Untuk rekod, Mohamad Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dikwan, telah memenangi pingat emas dalam acara yang sama pada edisi 2015 di Doha, Qatar, selain memperoleh pingat perak pada edisi 2017 di London, United Kingdom.

Pingat gangsa daripada atlet berusia 32 tahun itu menyaksikan Malaysia mengumpul tiga pingat, termasuk dua perak daripada Jonathan Wong Kar Gee dalam kategori lompat jauh lelaki T12 (gangguan penglihatan) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam kategori lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.