AGENDA

Kebocoran radioaktif di Pos Aviation dekat Sepang, operasi dihenti sementara

7 Nov 2019, 7:46 AM
Kebocoran radioaktif di Pos Aviation dekat Sepang, operasi dihenti sementara

SEPANG, 7 NOV: Kebocoran radioaktif yang berlaku di terminal Pos Aviation di kawasan KLIA Cargo Village di sini hari ini mengakibatkan kakitangannya mengosongkan bangunan dan menghentikan sementara operasinya.

Insiden kebocoran radioaktif itu yang mana Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerahkan ke lokasi, disahkan Pos Aviation, pengendali perkhidmatan logistik darat, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut JBPM Selangor, Balai Bomba dan Penyelamat KLIA menerima panggilan kecemasan pada jam10.42 pagi seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian dan juga pasukan Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam ke lokasi.

"Sebagaimana diarahkan oleh pihak bomba KLIA, semua petugas telah dipindahkan daripada bangunan terminal dan semua operasi dihentikan sementara sehingga notis selanjutnya,” kata Pos Aviation.

Menurut JBPM Selangor, kejadian kebocoran bahan radioaktif itu melibatkan kebocoran dari dalam kotak.

"Kebocoran berjaya dikawal," kata JBPM Selangor.

JBPM Selangor berkata kes kebocoran itu juga akan diserahkan kepada pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom untuk tindakan selanjutnya.

Media yang berkumpul di hadapan kawasan KLIA Cargo Village melihat dua jentera bomba meninggalkan kawasan kargo berkenaan pada kira-kira jam 2.25 petang.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.