ad
AGENDA

PM lawat pejabat Petronas di Azerbaijan

26 Okt 2019, 12:11 PM
PM lawat pejabat Petronas di Azerbaijan

BAKU, Azerbaijan, 26 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat pejabat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Azerbaijan di sini.

Sebaik tiba, Dr Mahathir yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 diberikan taklimat mengenai operasi Petronas di negara itu oleh Ketua Negaranya, Najwa Aras

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Yubazlan Yusof.

Sebagai satu daripada syarikat terbesar Fortune Global 500, kehadiran Petronas dalam kalangan gergasi minyak dan gas telah mengubah landskap industri itu di Azerbaijan.

Sebelum 2014, industri itu dimonopoli oleh syarikat minyak dan gas barat seperti British Petroleum (BP), Chevron dan TOTAL Statoil.

Susulan penubuhan Kedutaan Malaysia di Baku, Petronas membuka operasinya di sini dan mengambil alih 15.5 peratus ekuiti dalam Perjanjian Perkongsian Pengeluaran(PSA) Shah Deniz II daripada Statoil yang berpangkalan di Norway dengan nilai US$2.25 bilion.

Sebagai pihak berkepentingan dalam PSA, Petronas turut memiliki 15.5 peratus ekuiti dalam South Caucasus Pipeline Co (SCPC) dan 12.4 peratus kepentingan dalam Azerbaijan Gas Supply Co.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.