ad
AGENSI

Kerja pembaikan LRA Sungai Langat siap, pam kembali operasi

13 Okt 2019, 1:04 PM
Kerja pembaikan LRA Sungai Langat siap, pam kembali operasi

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerja pembaikan sistem elektrikal Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat sudah siap dilaksana dan pam kembali beroperasi, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan bekalan air berlaku secara berperingkat dan tempoh pemulihan bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

Katanya, pihaknya juga menjangkakan pemulihan keseluruhan kawasan terutama premis yang berada dipenghujung sistem agihan dan lokasi tinggi pada malam esok.

"Pihak kami sedang dalam proses pengoperasian sepenuhnya LRA Sungai Langat dan juga meningkatkan paras Kolam Imbangan dan Kolam Perkhidmatan bagi proses pemulihan bekalan.

"Bantuan lori-lori tangki air terus digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dilokasi yang nyatakan pada hebahan terdahulu akan beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan pulih sepenuhnya," katanya.

Abdul Raof berkata, segala usaha diambil bagi mempercepatkan pemulihan bekalan air dan pihaknya akan mengemaskini status dari semasa ke semasa.

"Mohon maaf atas segala kesulitan. Sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk status dan maklumat terkini.

"Hubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-2800919 / 019-2816793 untuk bantuan," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.