ad
AGENDA

Belanjawan 2020 langkah pertama ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama

11 Okt 2019, 12:55 PM
Belanjawan 2020 langkah pertama ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menjadi langkah pertama ke arah merealisasikan objektif dan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali berkata, belanjawan yang bersifat komprehensif itu selari dengan WKB 2030 untuk menstruktur semula ekonomi negara dan memacu pembangunan secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk rakyat.

“Belanjawan yang dibentangkan merupakan komitmen kerajaan untuk merapatkan kesenjangan ekonomi antara kelas pendapatan, kumpulan etnik dan wilayah.

“Ia adalah sebahagian integral daripada falsafah WKB 2030 yang berpaksikan model pertumbuhan inklusif demi kemakmuran seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan siling Peruntukan Pembangunan bagi tahun 2020 dinaikkan kepada RM56 bilion, iaitu 18.9 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2020 berbanding 17.3 peratus pada 2019.

Mohamed Azmin berkata peningkatan tersebut akan memberi manfaat secara langsung kepada semua rakyat Malaysia khususnya masyarakat B40, penduduk luar bandar dan anak muda.

Dalam Belanjawan 2020, sebanyak RM1.6 billion diperuntukkan kepada masyarakat peneroka dan pekebun kecil FELDA, FELCRA dan RISDA.

Selain itu, lebih RM1 bilion diperuntukkan untuk kepenggunaan digital bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengasah bakat dalam penggunaan teknologi baharu untuk mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

Mohamed Azmin juga berkata Belanjawan 2020 turut memberi tumpuan kepada usaha pemberdayaan anak muda dalam mendepani cabaran baharu dalam era teknologi yang serba canggih.

“Justeru, fokus terhadap program Teknikal dan Latihan Vokasional dengan peruntukan sejumlah RM5.9 bilion akan meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif,” katanya.

—BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.