ad
AGENDA

PM: Kerajaan kaji laksana GST jika rakyat mahu

3 Okt 2019, 3:35 AM
PM: Kerajaan kaji laksana GST jika rakyat mahu

PUTRAJAYA, 3 OKT: Kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya itu kemahuan rakyat, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

"Sekiranya rakyat percaya GST lebih baik, kita akan kaji.

"Kalau itu yang kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada lebih baik daripada SST (cukai jualan dan perkhidmatan)," katanya kepada media selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, keputusan untuk melaksanakan sistem pencukaian itu tidak akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan 11 Oktober ini.

"Nak masuk dalam bajet (Belanjawan 2020), susah sikit la. Mungkin kemudian," katanya.

GST pada kadar enam peratus pernah dilaksanakan sejak 1 April 2015 namun dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.