ad
AGENDA

Arab Saudi perkenal visa baharu untuk pelancong

27 Sep 2019, 2:50 AM
Arab Saudi perkenal visa baharu untuk pelancong

RIYADH, 27 SEPT: Arab Saudi akan memperkenalkan visa baharu bagi membuka pintu kepada pelancong, yang akan diumumkan pada majlis gala di Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di ad-Diriyah, di sini, malam ini.

Memetik laporan asal BH Online, Arab Saudi dianggap negara sukar dikunjungi pelancong sebelum ini kerana hanya mengeluarkan visa untuk perniagaan dan lawatan keluarga, selain haji serta umrah.

Pengerusi Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi, Putera Ahmad Al-Khateeb berkata, ia bakal menjadi peristiwa bersejarah bagi negaranya.

“Layanan baik dan murah hati menjiwai budaya Arab sehingga kami sangat mengalu-alukan kedatangan tetamu. Pelancong akan terkejut dan seronok menyaksikan khazanah yang ingin kami kongsikan.

“Antaranya, lima Tapak Warisan Dunia UNESCO, budaya tempatan yang bertenaga dan keindahan alam semula jadi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pemilik Norah Farm, Putera Abdullah al-Saud berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pelancong asing ke wilayahnya.

“Rakyat Arab Saudi terkenal dengan kerendahan hati dalam menerima tetamu dari luar.

“Selain tarikan sejarah, al-Ula juga menawarkan pengalaman menarik melalui kebun buah-buahan seperti tamar, lemon dan mangga,” katanya kepada delegasi wartawan antarabangsa dan ‘influencer’ media sosial di al-Ula, dekat sini.

Sempena pengenalan visa baharu itu, wartawan luar negara dan ‘influencer’ media sosial turut dibawa ke destinasi pelancongan utama negara ini.

Ia merangkumi tiga tema, iaitu pelancongan budaya, mewah dan kembara.

Visa baharu itu memberi peluang untuk pelancong melawat lima Tapak Warisan Dunia UNESCO, persisiran Laut Merah dan Empty Quarter.

Antaranya, tapak arkeologi terbesar tamadun Nabataean yang terletak di luar Petra, Jordan, iaitu Madain Saleh, Al-Ula.

Selain itu, ibu kota pertama Arab Saudi, at-Turaif, ad-Diriyah dan Jeddah yang bersejarah kerana menjadi pintu masuk ke Makkah.

Pelancongan menjadi segmen penting dalam Wawasan 2030 Arab Saudi untuk meningkatkan pelancong asing dan tempatan hingga 100 juta orang pada 2030.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.