ad
AGENDA

Tun M bertemu PM Belanda bincang isu petani pintar

25 Sep 2019, 6:08 AM
Tun M bertemu PM Belanda bincang isu petani pintar

NEW YORK, 25 SEPT: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte di luar sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Perbincangan pada Selasa itu, menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, merupakan pertemuan dua hala antara Malaysia dan Belanda.

"Kedua-dua negara berusaha mewujudkan kerjasama yang lebih erat dalam sektor pertanian menggunakan teknologi tinggi untuk membantu pekebun kecil menjadi lebih produktif sebagai petani pintar," katanya di Twitter.

Mohamed Azmin berkata, Dr Mahathir juga dijemput untuk melawat Belanda.

"Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengundang Dr Mahathir untuk melawat dan meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara," katanya.

Menteri itu turut melahirkan keyakinan bahawa terdapat potensi ekonomi yang boleh diusahakan melalui hubungan erat antara kedua-dua negara.

Selain Mohamed Azmin, turut hadir dalam perbincangan itu ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Dr Mahathir, yang tiba di New York pada Selasa untuk mengetuai delegasi Malaysia di UNGA, turut mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Kanan Google untuk Hal Ehwal Global Kent Walker.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.