AGENDA

Isu jerebu perlu kerjasama negara-negara ASEAN

16 Sep 2019, 2:48 PM
Isu jerebu perlu kerjasama negara-negara ASEAN

KUCHING, 16 SEPT:Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha menangani masalah jerebu rentas sempadan memerlukan kerjasama negara-negara anggota ASEAN.

Beliau berkata, ia memerlukan persetujuan kesemua 10 negara blok berkenaan untuk mengeluarkan satu mekanisme bagi menangani isu itu.

“Kalau transboundary haze (jerebu rentas sempadan) itu datang, kita nakkan semua negara-negara ASEAN setuju dan kita buatkan cara mana kita nak tangani, tapi ini adalah satu usaha bersama,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Negeri, di sini, hari ini.

Mengenai usaha menangani jerebu dalam negara, Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, proses pembenihan awan telah dilakukan di Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Manakala Sarawak, pada 19 hari bulan … lihat keadaan kalau ada awan untuk dibenihkan, sebab kadang kala bila tak ada awan situasi itu tidak membolehkannya hujan walaupun dah buat pembenihan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, beliau juga telah menghubungi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin untuk mendapatkan laporan terkini mengenai kawasan panas dalam negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.