AGENSI

Keluarga guru mati nahas jalan raya terima faedah PERKESO

12 Sep 2019, 3:36 AM
Keluarga guru mati nahas jalan raya terima faedah PERKESO
Keluarga guru mati nahas jalan raya terima faedah PERKESO

SHAH ALAM, 12 SEPT: Seorang guru wanita Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya ketika dalam perjalanan ke sekolah menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), hari ini.

PERKESO Selangor dalam kenyataan memaklumkan, hasil siasatan dan semakan mendapati waris kepada arwah Nursyafiqa A’in Abd Shukor layak menerima faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan yang membolehkan mereka menerima Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan iaitu berupa pencen bulanan.

Katanya, semua pampasan itu diterima oleh ibu dan bapa mangsa serta dua adiknya yang berusia bawah 21 tahun.

"Nursyafiqa yang membonceng motosikal bersama bakal tunangnya tercampak ke tengah Lebuhraya Besraya sebelum digilis oleh kenderaan lain. Nursyafiqa meninggal di tempat kejadian pada jam 12 tengah hari, 15 Julai lalu," katanya.

Rentetan berita yang disiarkan melalui media massa dan media sosial berhubung kemalangan membabitkan guru berkenaan, pihak Skuad PERKESO Prihatin Kajang melakukan siasatan juga semakan kelayakan di bawah skim PERKESO serta mendapati arwah layak menerima faedah akibat kemalangan yang meragut nyawanya.

Bapa mangsa, Abd Shukor Abdul Majid sudah menerima cek Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.

Penyampaian cek itu dilakukan oleh Setiausaha Bahagian Kementerian Pelajaran, Datuk Ahmad Nazri Embong dan Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman.

Selain itu, ibu bapa dan adik allahyarhamah pula menerima pencen faedah orang tanggungan secara bulanan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.