ad
BERITA UTAMA

Warga emas lakukan larian solo sempena sambutan bulan kebangsaan

21 Ogos 2019, 9:18 AM
Warga emas lakukan larian solo sempena sambutan bulan kebangsaan

KOTA MARUDU, 21 OGOS: Usia bukan penghalang bagi seorang petani, Mundan Gomosi, 69, melakukan larian solo sejauh 36 kilometer sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Bapa kepada sembilan anak itu memulakan larian dari Kampung Talantang pada 5 pagi ke Bukit Gana sebelum kembali semula ke Kampung Talantang dengan melengkapkan larian sejauh 36 kilometer dalam tempoh enam jam 35 minit, Sabtu lepas.

"Saya mula serius dengan aktiviti larian sejak 2018 dan tahun ini saya memilih untuk berkolaborasi dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah untuk memberi sokongan terhadap sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

"Larian solo ini adalah salah satu cara untuk mengungkapkan semangat kemerdekaan dalam diri saya. Ia juga bagi membuktikan kemampuan saya selaku warga emas yang sering kali dipandang rendah oleh orang luar iaitu tiada keupayaan melakukan apa-apa," katanya kepada Bernama pada program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kota Marudu di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Tandek Datuk Anita Baranting.

Mundan berharap aktiviti seumpama ini menjadi inspirasi kepada masyarakat khususnya sahabat seusianya supaya menjaga kesihatan dengan baik dan seterusnya membuktikan warga emas masih mampu menyumbang kepada negara.

Katanya pada mulanya beliau hanya menjadikan aktiviti larian sebagai penawar rindu kepada mendiang isterinya, Randumi Masangkin yang meninggal dunia pada Oktober 2014.

Namun katanya aktiviti berkenaan akhirnya bertukar menjadi hobi lantas mencetuskan idea kepadanya untuk melakukan larian solo sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tahun ini.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.