BERITA UTAMA

Isu kaum tiada lagi amaran, terus tangkap - KPN

20 Ogos 2019, 11:54 PM
Isu kaum tiada lagi amaran, terus tangkap - KPN

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Tiada lagi amaran dikeluarkan terhadap pihak-pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, bangsa dan agama sebaliknya

mereka yang terlibat termasuk pemimpin politik akan terus ditangkap untuk disiasat, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

"Saya tidak teragak-agak untuk menangkap mereka (pihak bangkitkan isu perkauman) dan memang saya akan buat (lakukan tangkapan).

"Saya bagi arahan kepada anak-anak buah saya untuk siasat kes terkelas melibatkan keagamaan dan kaum. Jangan tunggu, terus siasat dan tangkap. Saya

ulang tiada lagi amaran," katanya kepada Bernama News Channel di sini semalam.

Abdul Hamid berkata, banyak pihak terpedaya dengan agenda tertentu yang dicipta pihak-pihak tidak bertanggungjwab untuk menimbulkan suasana tidak

harmoni dalam negara.

Beliau berkata individu-individu yang terpedaya itu, kemudian berkongsi perkara tidak sahih, merakam video berbaur perkauman dan menyebarkannya di

media sosial selain menghina dan memaki pemimpin negara.

"Saya menyeru kepada orang ramai jangan terpedaya dengan mainan politik pihak tertentu dengan secara tidak disedari mereka terperangkap, maka orang

yang menularkan video tidak tahu hujung pangkal, akhirnya mereka ditahan dan didakwa.

"Saya nasihatkan jangan ambil tindakan yang melulu dan ikut emosi," katanya sambil menambah tindakan pihak tidak bertanggungjwab ini telah

mengakibatkan masyarakat keliru, takut dan negara dilihat seolah-olah porak-peranda.

Abdul Hamid berkata, pelbagai isu perkauman sedang dan telah diselesaikan pihak polis demi memastikan keharmonian dan ketenteraman awam sentiasa

berada pada tahap terbaik.

"Saya menyeru pemimpin politik supaya mereka ada sikap tanggungjawab dalam bulan (Bulan Kebangsaan) ini kerana kita hendak sambut Merdeka. Banyak

kenyataan tidak bertanggungjawab dikeluarkan, sepatutnya mereka (pemimpin politik) lebih bertanggungjawab selepas kita berjaya jalankan proses

demokrasi cemerlang.

"Sekarang macam porak-poranda pula. Semua kaum, orang ramai jadi takut apa yang berlaku dalam negara kita ini, biarlah bertanggungjawab.. Jangan

keluarkan kenyataan tanpa guna akal fikiran, hentikan semua ini," katanya

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.