ad
AGENDA

Zakir Naik dipanggil Bukit Aman kali kedua petang ini

19 Ogos 2019, 3:51 AM
Zakir Naik dipanggil Bukit Aman kali kedua petang ini

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik akan dipanggil ke Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangannya bagi kali kedua, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Zakir dipanggil ke Bukit Aman pada 3 petang untuk menyambung keterangannya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam, katanya ketika dihubungi.

Pada Jumaat lalu (16 Ogos), Zakir memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama untuk membantu siasatan mengikut kanun yang sama.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi berhubung penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini sebagai respon kepada desakan supaya beliau diusir dari Malaysia.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.